Berita

 

Bazar Ramadan didik keselamatan dan kebersihan makanan

Disiarkan pada 25 Feb 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo Online


Rozita (empat kanan) menyerahkan bantuan daripada Baitulmal Limbang kepada penerima bantuan pada Ahad.

 

LIMBANG: Bazar Ramadan 2026 bukan saja menyemarakkan sambutan bulan Ramadan, menyediakan platform perniagaan yang teratur dan kondusif malah mendidik pengunjung mengenai budaya pesta tanpa sampah.

Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai berkata, langkah itu selaras dengan usaha Majlis Daerah Limbang (MDL) dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

“Aspek keselamatan serta kebersihan tapak dan makanan di bazar Ramadan terus diberi keutamaan MDL melalui pemantauan berterusan setiap tahun selaras dengan slogan 'Pesta Tanpa Sampah' setiap kali penganjuran aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Limbang Tahun 2026 di Kawasan Parkir Lot 777 Limbang pada Ahad.

Turut hadir ialah Pengerusi MDL Kaunselor Sufian Mohat dan Setiausaha MDL Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.

Katanya, bazar Ramadan merupakan tarikan utama pengunjung bukan saja untuk mendapatkan juadah berbuka puasa tetapi pusat peningkatan ekonomi setempat.

Justeru katanya, aspek kebersihan kawasan berniaga dan penyediaan makanan perlu dipelihara demi keselamatan semua.

“Pelaksanaan tapak bazar yang lebih teratur, bersih dan selamat mencerminkan komitmen pihak penganjur iaitu MDL dalam memastikan keselesaan peniaga dan pengunjung.

“Pada masa sama pematuhan standard keselamatan dan kebersihan dilihat berada pada tahap yang membanggakan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, bazar Ramadan juga menjadi platform memperkukuhkan silaturahim dalam masyarakat kita yang berbilang kaum selain memastikan tahap pematuhan terhadap garis panduan makanan dan kebersihan berada pada tahap membanggakan.

Jelasnya, Bazar Ramadan Limbang merupakan tumpuan pengunjung tempatan dan pengunjung dari negara jiran Brunei yang memilih untuk membeli juadah berbuka puasa di sini.

Selain itu katanya, bazar berkenaan juga menjadi pilihan mereka yang bukan beragama Islam untuk membeli makanan dan minuman.

Seramai 130 peniaga menyertai bazar Ramadan tahun ini iaitu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 116 peniaga pada tahun lepas.

  •  oleh Mastura Ismail