Sejarah Limbang


LIMBANG

Daerah yang sekarang dinamakan Limbang pada asalnya terdiri dari dua bahagian. Pertama adalah kawasan kanan Sungai Limbang adalah kuripan milik keturunan Sultan Hashim Jalilul Alam, kedua Sungai Pandaruan pula adalah tulin Pengiran Muda Damit Mohamad Tajudin anak kepada Pengiran Muda Hashim. Brooke telah mengambil kawasan Sungai Limbang dan Pengkalan Tarap pada tahun 1890 sedangkan Sungai Pandaruan telah dibeli dari Alfred Everett pada tahun 1885 dan dibeli oleh Brooke pada tahun 1913.
Sungai Limbang dan Pengkalan Tarap telah menjadi sebuah daerah pada 17 Mac tahun 1890. Seperti Trusan, Sungai Limbang dan Pangkalan Tarap (mulai dikenali sebagai Limbang saja) telah dimasukkan dalam Bahagian Keempat bersama Baram dan Kidurong. Pegawai Daerah pertama ialah O.F. Ricketts yang akan bertugas lama disini. Seperti di tempat lain di Sarawak, Ricketts telah membina sebuah kubu yang siap pada tahun 1897 tetapi berbeza dengan di tempat lain kubu ini tidak diberi nama, hanya dikenali sebagi Kubu. Di samping itu, kawasan Sungai Pandaruan juga lenyap sebagai daerah berasingan kerana dimasukkan dalam Daerah Limbang.


Picture

Pekan Limbang 1948


TRUSAN
Dalam sejarah Bahagian Limbang kawasan yang pertama sekali menjadi milik Sarawak pada zaman Brooke ialah kawasan Sungai Trusan yang meliputi Tanjung Paun hingga keseluruhan lembah Sungai Trusan. Kedudukan kawasan ini tidak begitu jelas sama ada dalam kategori tulin atau kerajaan. Dalam perjanjian pengambilan kawasan ini Brooke telah merujuk kepada Sultan Abdul Mumin dan kemudian dengan Pengiran Temenggong Hashim pada tahun 1884.


Picture

Pekan Trusan 1963


LAWAS
Beberapa tempat di Daerah Lawas pada masa dahulu adalah dalam hak tulin. Punang adalah hak tulin kepunyaan Pengiran Muhamad Tali Bongsu bin Pengiran anak Mat Daud, Siang-Siang hingga Kuala Bunbun adalah hak tulin kepada Pengiran Tajudin Hitam bin Pengiran Pemaca, Pengiran anak Jambul bin Pengiran Ahmad mempunyai hak tulin bagi kawasan Langarih hingga Bunbun, Pengiran Abu Bakar dan Pengiran Tajudin mempunyai hak tulin seluruh kawasan Sungai Lawas dan Sungai Merapok. Pada awalnya kesemua sungai dan kawasan ini telah dijual kepada Kompeni Borneo Utara pada tahun 1901. Pada 12 Januari 1905 semua kawasan ini telah dibeli oleh Sarawak daripada Kompeni Borneo Utara dan dengan itu menjadikan Daerah Lawas adalah daerah yang terakhir menjadi sebahagian daripada Sarawak dan juga dengan itu melengkapkan kawasan negeri Sarawak yang ada seperti sekarang.


Picture

Pekan Lawas 1970