Font Size Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil

Pelanjutan tempoh sah ujian COVID-19 kepada 14 hari sebelum masuk Brunei disambut baik - Dr Abdul Rahman
Tarikh : 05 Oct 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

LIMBANG: Pelanjutan tempoh sah ujian saringan COVID-19 daripada tujuh hari kepada 14 hari sebelum memasuki Brunei Darussalam disambut baik kerana dapat meringankan beban penduduk tempatan yang perlu melalui negara itu.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail (gambar) yang berkata demikian, berkata kelonggaran itu meringankan beban mereka yang terpaksa melalui Brunei khususnya yang membawa barang keperluan dan perkhidmatan penting lain.

“Tempoh lanjutan ini akan meringankan mereka dari segi masa untuk membuat ujian dan dan kos yang terpaksa dibayar untuk melakukan ujian swab COVID-19.

“Kerjasama seperti ini akan merapatkan lagi hubungan dua hala antara negara Malaysia dan Brunei,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan negara Brunei bahawa warganegara asing yang melalui pos kawalan (jalan darat) boleh mengemukakan keputusan ujian negatif makmal COVID-19 dalam tempoh 14 hari daripada tarikh ujian dilakukan sebelum memasuki negara itu, berkuat kuasa hari ini.

Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Dua, Dato Seri Setia Dr. Awang Mohd Amin Liew Abdullah selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan pada 30 September 2020, JPM telah melakukan beberapa pengemaskinian, termasuk tempoh melanjutkan ujian makmal COVID-19.
 
Kata kenyataan itu pada Ahad, keputusan ujian tersebut hendaklah dikemukakan kepada pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, di pos kawalan masuk.
 
“Keputusan ujian yang negatif boleh digunakan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh ujian dijalani.
 
“Syarat ini adalah dikenakan bagi kemasukan warganegara asing untuk tujuan transit, komuter dan Kenderaan-kenderaan Komersial (Transport Operators) sahaja, iaitu bagi setiap pemandu dan penumpang,” katanya pada Ahad.
 
Bagaimanapun, warganegara asing yang mendapat kebenaran perjalanan masuk melalui Entry Travel Pass (ETP) masih diperlukan untuk menunjukkan Sijil Keputusan SARS-COV2 RT PCR yang dijalani dalam tempoh 72 jam sebelum memasuki negara Brunei Darussalam.
 
“Pihak Kementerian Kesihatan juga akan menjalankan ujian saringan COVID-19 dalam kalangan pemandu dan penumpang kenderaan-kenderaan Komersial (Transport Operators) dari luar negara yang memasuki negara ini melalui pos-pos kawalan darat secara rambang,”katanya.
 
Menurut kenyataan itu, perjalanan masuk bagi kenderaan-kenderaan komersial dari luar negara yang dijamin oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui pos-pos kawalan darat adalah dihadkan kepada tiga kali sahaja, iaitu setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.
 
“Pengemaskinian syarat yang dinyatakan di atas adalah sah bagi perjalanan masuk mulai hari ini,” katanya lagi.

  • oleh
    Mastura Ismail